Kehebatan Maulana Musa Al Bazzi


Kehebatan Ilmu Syeikhul Hadith wal Tafsir Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Baz.

Syeikhul Hadith wal Tafsir Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi sememangnya seorang ulama Islam yang terkemuka yang pernah dilahirkan oleh negara Pakistan. Beliau dilahirkan pada tahun 1935 M. Beliau menjadi yatim setelah ayahnya meninggal dunia ketika berumur 5 tahun.

Ibunya, seorang wanita yang solehah dan mulia, menyediakan anak kecil ini untuk belajar, mengajar dan menyebarkan agama Islam mengikut kehendak bapanya Maulana Sher Mohammad. Beliau bersafar ke beberapa tempat untuk mempelajari ilmu agama, antaranya ialah di daerah Quetta, Akora Khattak dan Multan. Rakan-rakan sepengajian beliau memberitahu bahawa sewaktu belajar, beliau tidak pernah berehat atau tidur sebentar.

Karya-karya Ilmiah beliau

Beliau sememangnya dikenali di lapangan ilmu. Beliau mengarang beberapa kitab, jumlah kitab-kitab karangan beliau dalam pelbagai disiplin ilmu antaranya hadith, tafsir, fiqh dan sebagainya lagi. Antara kitab syarah hadith terkenal karangan beliau ialah Riyad al-Sunan iaitu syarah kepada Sunan Tirmizi sebanyak 40 jilid. Dalam bidang tafsir pula, beliau mengarang syarah kepada Tafsir Baidawi sebanyak 55 jilid.

1. Antara kitab beliau yang lain ialah Al-Qasidah al-Husna fi Asma al-Nabi al-‘Uzma (Satu kitab yang menghimpunkan 500 Nama Nabi Muhammad SAW.

2. Beliau juga telah mensyarahkan kalimah  أما بعد  "Amma Ba'd" menjadi lebih 1.3 juta penjelasan. Boleh lihat dalam kitab karangan beliau iaitu Al-Najm as-Sa’d fi Mabahith Amma Ba’d.



3. Beliau juga telah mensyarahkan lebih daripada 190 keunggulan Sayyiduna Ibrahim Alaihissalam, dalam selawat Ibrahim. Boleh lihat dalam Fath al-‘Alim fi Halli Ishkali al-Tashbih al-‘Azim fi Hadith ‘Kama Sallayta ‘ala Ibrahim.

4. Beliau juga mengarang kitab Fath Allah fi Khansa'is al-Ism Allah iaitu satu kitab menerangkan keistimewaan nama-nama Allah lebih daripada (2 jilid) lebih kurang 1500 muka surat.

Kitab ini menerangkan tentang kebesaran Allah disebalik penggunaan kalimah Allah, kebesaran kalimah yang tidak pernah dibahaskan oleh oleh para ulamak. Pernah sekali beliau diundang oleh kerajaan Arab Saudi untuk menerima ijazah PHD atas perkhidmatan beliau dalam bidang tersebut, tetapi beliau menolak pemberian anugerah tersebut dengan berkata bahawa, saya menulis kitab ini adalah kerana keredhaan Allah bukan kerana darjah duniawi.


Beliau mengajar Hadith selama 46 tahun sepanjang hidupnya dan telah menghasilkan lebih daripada 10,000 ulama Islam yang datang dari seluruh pelusuk dunia terutamanya yang belajar di Jamia Ashrafia, Lahore, Pakistan. Antara pelajar beliau dari Malaysia ialah Maulana Hasnul Hizam Hamzah (khadim khas beliau), Maulana Hamzah dan Maulana Ismail Mat Deris. kesemua mereka adalah tenaga pengajar hadith di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling dan cawangannya.

Di akhir hayat beliau, beliau telah didapati mengidap penyakit hati yang teruk sehingga membawa kepada kematian beliau. Beliau menghempus nafas terakhir ketika menunggu untuk solat asar pada 19 Oktober 1998 pada usia 63 tahun. Berita kematian beliau tersebar dengan meluas diseluruh Pakistan. Beribu-ribu orang menghadiri solat jenazah beliau di Lahore dengan tangisan di mata mereka. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Mayani sahib, Lahore, Pakistan. Selepas beliau dikebumikan di perkuburan Mayani, telah keluar satu haruman wangi dari kubur beliau dan mewangikan seluruh perkuburan yang lain. Wangian ini berterusan selama lebih 7-8 bulan.

Beribu-ribu orang datang untuk menziarahi perkuburan beliau dan ramai para ulamak menyatakan bahawa haruman ini adalah datang dari syurga. Menurut sejarah Islam, para ulamak mengatakan bahawa Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi adalah orang ketiga dalam sejarah Islam di mana kubur mereka mengeluarkan haruman bau syurga. Beliau mewakafkan seluruh hidup beliau dalam pengajaran, penulisan, suluk dan sebagainya. Beliau diiktiraf sebagai seorang yang sangat alim dalam bidang hadith, tafsir, fiqh dan pelbagai lagi disiplin ilmu yang lain. Karya-karya beliau menunjukan bahawa kewibawaan beliau sebagai seorang yang sangat hebat bahkan telah diterjemahkan oleh pelbagai bahasa. Kebanyakan buku beliau dituliskan dalam bahasa Arab, Urdu dan Farsi. Karya-karya beliau juga mendapat perhatian yang besar dari pelbagai ulamak.

Guru saya pernah menceritakan bahawa sekali :

"Apabila buku beliau dibawa kehadapan beberapa ulamak Arab, maka para ulamak Arab ini telah bertanya, adakah pengarang buku ini masih hidup ? dan adakah benar beliau seorang yang Ajam? Para ulamak arab ini mengatakan bahawa kerja-kerja ilmiah milik beliau begitu mengagumkan kami khususnya dalam kesusasteraan Arab. Kami merasakan bahawa sepatutnya beliau dilahirkan beberapa ratus tahun sebelum ini kerana kehebatan beliau".

Saat-saat kematian beliau

Ketika beliau berada di atas katil dalam biliknya, hampar 30 orang pelajar beliau dan para ulama tempatan telah datang menziarahi beliau. Satu perkara yang aneh telah berlaku iaitu beliau telah meminta semua orang yang berada di sampingnya mengucap kalimah syahadah dengan kuat bersama dengannya. Ketika mereka yang berada di sampingnya mengikuti pembacaan kalimah syahadah, takdir Allah, beliau telah dipanggil mengadap ilahi. 

Menurut pandangan ulama, mereka tidak pernah mendengar lagi kisah kematian seseorang seperti ini di mana seseorang yang hendak meninggal dunia menasihati orang yang menziarahinya supaya membacakan Kalimah Syahadah bersama dengan beliau. Kebiasaanya orang-orang yang menziarahi orang sakit akan meminta orang sedang sakit itu untuk berbuat sedemikian. Tidak syak lagi, ini adalah salah satu daripada karomah beliau yang Allah zahirkan.

Menurut sejarah Islam, Maulana Muhammad Musa Ruhani Al-Bazi adalah insan ketiga dalam sejarah Islam di mana telah keluar haruman daripada kubur. Ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda penerimaan Allah SWT atas perkhidmatan beliau pada agama Allah.

Kitab Al-Barakat al-Makkiyah Fi ‘l-Salawat al-Nabawiyyah

Antara kitab yang dikarang oleh Maulana Musa Ruhani al-Bazi ialah kitab selawat yang menghimpunkan 805 Nama Nabi Muhammad SAW yang diberikan nama Al-Barakat al-Makkiyah fi ‘l-Salawat al-Nabawiyyah.


Kitab ini menunjukan betapa haibah beliau dalam menghasilkan karya-karya ilmiah dan mengambarkan betapa dalam dan luasnya ilmu beliau. Tidak perlu dikatakan, kedua-dua hasil kerja ini adalah usaha yang menakjubkan dan benar-benar menampak kehebatan beliau sebagai seorang yang faqih dalam pelbagai disiplin ilmu.

Kitab Al-Barakat al-Makkiyah Fi ‘l-Salawat al-Nabawiyyah yang diterbitkan dalam versi Urdu. Dalam kitab ini juga ada diceritakan kisah karomah pengarang kitab dimana kubur beliau telah mengeluarkan haruman selama lapan bulan.

Kitab Al-Barakat al-Makkiyah Fi ‘l-Salawat al-Nabawiyyah yang telah diterbitkan oleh Maulana Muhammad Razif Mazahiri dan telah disesuaikan untuk pembacaan pelbagai golongan. Alhamdulillah telah diadakan majlis pelancaran kitab ini. Dalam kitab tersebut telah dinyatakan bahawa untuk mendapat lebih keberkatan dalam pembacaan dan pengamalannya, kita telah diminta untuk memohon ijazah daripada waris pengarang iaitu anak beliau.

DK

Post a Comment

Previous Post Next Post